Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram
yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan, dan
planet. Perkataan horoskop berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud
"melihat jam". Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan
tarikh lahir orang itu mesti diketahui.
Menurut
ilmu astrologi, setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan
nasib setiap orang adalah berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari,
bulan dan planet pada hari itu.
Di Malaysia, terdapat dua jenis horoskop
yang menjadi kepercayaan masyarakat iaitu horoskop yang berasaskan zodiak
binatang cina dan zodiak Yunani. Zodiak binatang Cina terdiri daripada tikus,
lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan babi(Damian
Sharp 2000:6). Manakala 12 lambang zodiak Yunani pula ialah Aries, Taurus Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra,
Scorpio, Sagittarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.
Kahin (dukun) ialah orang yang mengaku dirinya mengetahui perkara-perkara yang
tersembunyi atau hal-hal yang bersifat ghaib sehingga golongan ini banyak
memberitahu tentang kejadian-kejadian masa lalu kepada orang yang datang kepada
mereka. Sementara itu, Arraf pula ialah orang yang memberitahu
kejadian-kejadian yang akan datang dengan cara yang sama seperti Kahin(Abu
Bakar Ali :219).
Oleh itu pengertian antara dukun dengan tukang ramal horoskop
mempunyai persamaan iaitu sama-sama mengaku mengetahui perkara tersembunyi
dengan cara tekaan. Justeru, barangsiapa yang mempercayai ramalan Kahin
dan Arraf beerti dia telah melakukan dosa besar. Hal ini kerana secara
dasar, segala urusan ghaib hanya disandarkan pada kekuasaan Allah. Rasul
sendiri sangat terbatas pengetahuannya tentang persoalan ghaib kecuali hanya
yang diizinkan oleh Allah, apatah lagi para Kahin dan Arraf yang bukan
berstatus nabi dan utusan Allah. Sudah semestinya mereka tidak mengetahui
persoalan ghaib. Apabila mereka mengakui boleh mengetahui perkara ghaib, hal
itu adalah termasuk sebagai dosa besar(Abu Bakar Ali :220). Firman Allah Taala: Surah al-Jin
17:26-27
Maksudnya:
"Tuhanlah sahaja
Yang mengetahui Segala Yang ghaib, maka ia tidak memberitahu perkara ghaib Yang
diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul Yang di
redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib Yang berkaitan Dengan
tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan Yang demikian) maka ia mengadakan di
hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat Yang menjaga dan
mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu Selamat sampai kepada Yang berkenaan.
Ibnu Jawzi menjelaskan
ayat ini bahawa yang maha mengetahui persoalan ghaib itu hanyalah Allah S.W.T. sahaja,
tidak ada sesuatu pun yang dapat menyamai-Nya. Dia tidak pernah memberitahu
segala perkara yang ghaib kecuali kepada utusan-Nya sama ada dari malaikat
mahupun kepada nabi-Nya(Abu Bakar Ali :220). Ini semua adalah kepercayaan yang salah kerana tiada siapa atau apa
jua yang mengetahui ilmu ghaib kecuali Allah sebagaimana firmanNya: Surah
al-Ancam 6:59
Maksudnya:
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan Segala Yang ghaib, tiada
sesiapa Yang mengetahuiNya melainkan Dia lah sahaja; dan ia mengetahui apa Yang
ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia
mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun Dalam kegelapan bumi dan tidak
gugur Yang basah dan Yang kering, melainkan (Semuanya) ada tertulis di Dalam
Kitab (Lauh Mahfuz) Yang terang nyata. Firman-Nya
lagi: Surah
al-Naml 27:65
Maksudnya: Katakanlah lagi: tiada sesiapapun di langit
dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" dan
tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula
(Sesudah mati).
Amalan mempercayai ramalan horoskop sama ada sekadar membaca mahupun
menaruh sedikit rasa yakin terhadap perkara yang diramalkan itu perlu dijauhi
serta merta. Hal ini kerana ianya bukanlah perkara main-main atau
seronok-seronok, ekoran telah jelas bercanggah dengan hukum Islam. Firman Allah
S.W.T: Surah
al-Isra’ 17:36
Maksudnya: Dan
janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya; Sesungguhnya
pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan
ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Untuk
mengukuhkan lagi tegahan tersebut, berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W.:
قال رسول صلى الله عليه وسلم: من أتى عرافا فصدقه بما
يقول لم تقبل له صلاة أربعين يوما.
Hadis riwayat Muslim
Maksudnya: Barangsiapa yang datang kepada dukun, kemudian dia
membenarkannya terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak
diterima Allah selama 40 hari.
Menurut Yusuf al-Qardawi, walau
seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca dalam ramalan horoskop,
solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari. Namun jika seseorang itu membaca
serta membenarkan pula ramalan tersebut, maka orang itu dikatakan kufur kepada
ajaran Muhammad S.A.W. Walau bagaimanapun, jika seseorang membacanya dengan
tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya
dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang
lain.
Islam melarang penggunaan bintang, planet dan matahari sebagai
sumber ramalan kerana ilmu-ilmu ghaib tidak tersimpan dalam objek-objek
tersebut. Apabila seorang muslim menggunakan bintang, planet dan matahari untuk
membuat ramalan tertentu, seolah-olah dia mempercayai objek-objek tersebut
mampu mengkhabarkan kepadanya tentang sesuatu yang akan berlaku(Imam al-Zahabi
2007:393). Rasulullah S.A.W. bersabda
lagi:
عن أبي هريرة رضي الله عنه: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من أتى
عرافا أو كاهنا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد صلى الله عليه وسلم.
Hadis
riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah.
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah R.A rasulullah S.A.W. bersabda: “Barangsiapa yang mendatangi
tukang ramal atau dukun, kemudian dia membenarkan apa yang diperkatakannya,
maka sesungguhnya dia telah ingkar terhadap apa yang telah diturunkan kepada
nabi Muhammad S.A.W.
Para peramal horoskop atau golongan paranormal yang mendakwa diri
mereka mengetahui ilmu ghaib serta perkara yang akan berlaku pada masa hadapan
adalah seorang pendusta. Mereka juga telah menyekutukan Allah dengan meletakkan
diri mereka sejajar dengan keilmuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Firman Allah
S.W.T lagi dalam Surah
al-Aa’raf 7:188
Maksudnya:
Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak
dapat menolak mudarat kecuali apa Yang dikehendaki Allah. Dan kalau Aku
mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah Aku akan mengumpulkan dengan
banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) Aku tidak ditimpa
kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran
(bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang
beriman".
Sesungguhnya pengetahuan terhadap perkara ghaib adalah termasuk hal
yang menjadi rahsia Allah. Sesiapa yang berkeyakinan bahawa dirinya atau orang
lain boleh menguasai perkara ghaib, ianya termasuk dalam perbuatan syirik
kerana adanya kebergantungan kepada sesuatu yang lain selain Allah.
Menurut Syaikh Muhammad Jamil Zainu, apa yang dikatakan oleh para peramal itu
sebenarnya hanyalah ramalan
semata-mata dan sekiranya
terdapat persamaan, ianya adalah secara kebetulan sahaja. Telah jelas ternyata pengharaman tentang mempercayai
ahli nujum, dukun, peramal, tukang sihir serta orang yang mengaku mengetahui
jiwa orang atau peristiwa-peristiwa lalu yang tidak diketahui atau mengetahui
apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Sebab hal-hal tersebut adalah
khusus ilmu Allah saja. Allah berfirman: Surah
al-Hadid 57:6
Maksudnya:
Dia lah yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan memasukkan waktu
siang ke dalam waktu malam (silih berganti), dan Dia lah yang maha mengetahui
akan segala (isi hati) yang terkandung didalam dada.
Menurut pandangan Dr Zahazan Mohamed, perbuatan mempercayai ramalan
bintang atau horoskop jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh
menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah walaupun dibaca hanya sekadar
untuk bersuka-suka. Bintang dijadikan Allah dengan tiga tujuan iaitu menjadi
perhiasan di langit, petunjuk kepada ahli musafir atau pengembara dan untuk
merejam syaitan. Sekiranya tujuan bintang itu disalah gunakan, dikhuatiri ia
akan membawa kepada perkara-perkara syirik. Jelas sekali bahawa orang Islam
tidak boleh terpengaruh dengan perkara ini walaupun sedikit kerana ia boleh
menjejaskan akidah. WALLAHUA'LAM
~Honey Inara
No comments:
Post a Comment