Wednesday 19 February 2014

Cara-cara Sambung Master


Entri khas untuk kawan-kawan aku yang banyak bertanya pasal ni.

Satu perkara yang aku rancang sejak dahulu, sejak dibangku persekolahan lagi ------> Buat Master. Dulu ketika masih bergelar pelajar sekolah, setiap kali aku ditanya apakah cita-citaku, aku mesti buntu untuk menjawabnya. Aku hanya memberi jawapan "tak tahu lagi, sebab nak sambung master." Hanya itu jawapan yang aku mampu bagi.

Kenapa perkataan 'Master' itu begitu sebati dalam jiwaku sejak di bangku persekolahan lagi? Semuanya kerana ayahku. Ayahku tidak berpendidikan tinggi,berasal dari kampung yang jauh di pedalaman, hanya bekerja biasa-biasa. Namun beliau cukup berpandangan jauh. Sejak kecil lagi aku ditanam semangat oleh ayah supaya belajar sekurang-kurangnya sampai ke peringkat Master. Mungkin waktu itu aku masih tidak begitu faham, namun aku tetap akur dan menganggap kehendak ayah sebagai tanggungjawab aku sebagai anaknya.

Ramai yang ragu-ragu, sama ada nak sambung master atau terus bekerja. Okey, tanya diri anda. Apa yang anda mahu dalam hidup. Apa yang sedang bergelojak di jiwa anda sekarang. Apa passion anda. Macam aku, semangat mahu sambung master itu telah berkobar-kobar sejak dahulu lagi hasil suntikan semangat dari ayah. Oleh kerana itu aku tidak fikir panjang lagi melainkan terus memilih jalan ini.


Selesai degree, aku hanya lepak di rumah selama 6 bulan lamanya! Sepanjang tempoh itu juga ayah tak putus-putus bertanya bila aku mahu sambung master. Aku sebenarnya keliru untuk memilih bidang pengajian yang aku mahu ambil. Sama ada mahu meneruskan bidang yang sama seperti degree ataupun tukar bidang. Oh ya, ramai juga yang tukar bidang, degree tidak sama dengan master. Bagus untuk kepuasan diri namun ade kekurangannya juga.

Aku mahu memilih universiti lain sebenarnya. Universiti yang tidak sama dengan degree dahulu. Aku mahu mencari pengalaman baru dan merasa suasana di tempat lain pula. Lebih bagus begitu sebenarnya. Namun, dek kerana asyik bertangguh memohon, akhirnya tanpa sedar semua universiti telah menutup permohonan untuk sesi awal 2014, kecuali universiti semasa degree aku dulu. So,aku tiada pilihan lain memandangkan ayah sudah mendesak supaya aku segera menyambung pengajian. Akhirnya aku kembali semula ke UKM.

UKM paling mudah memohon, kerana 100% online dan tidak perlu print permohonan dan pos semula kepada pihak universiti seperti kebanyakan U lain. Sesiapa yang berminat boleh apply di SINI

Ada kawan ajak sambung master di UK....impian aku! Tapi akhirnya aku tak jadi. Aku tak cukup keazaman. Iskkk.. 

CARA MOHON MASTER

Sebelum memohon, pastikan anda tahu jenis/mod pengajian yang anda mahu, sama ada coursework, research atau mixed mod (coursework+research). Macam aku, aku selesa memilih coursework kerana aku suka ke kelas, suka belajar, menghadiri kuliah dan berjumpa lecturer. Atau senang cakap aku lebih suka berguru. Aku rindukan suasana belajar seperti semasa degree dahulu. Aku belum puas merasa saat itu.

Untuk yang mahu buat research, pastikan anda sudah ada tajuk penyelidikan dan proposal. Kemudian, anda boleh terus memilih penyelia yang dikehendaki. Biasanya pelajar research juga perlu menghadiri kuliah, namun hanya perlu mengambil subjek teras sahaja. Selebihnya mereka akan membuat penyelidikan sepenuhnya.

Mixed mod adalah gabungan kedua-dua mod di atas.

Anda kena rajin buka laman web postgraduate U yang anda mahu. Pastikan anda peka dengan tarikh tutup permohonan. Jangan asyik bertangguh dan terlambat macam aku.

DAH DAPAT TAWARAN

Alhamdulillah, jika sudah dapat tawaran daripada pihak U, korang boleh lah print apa yang patut macam surat tawaran, perjanjian kerahsiaan, aku janji karya akademik dan sebagainya. Lepas itu, bolehlah buat medical check-up dan Xray. Itu sahaja. Bawak semua dokumen, daftar, dan anda selamat bergelar pelajar siswazah!

Dalam minggu pertama setelah bergelar pelajar siswazah itu juga, anda yang nak memohon biasiswa Mybrain bolehlah memulakan langkah. Boleh tengok detail pasal Mybrain di SINI. Aku sekarang sedang berkira-kira hendak memohon pinjaman pendidikan MARA juga. Yang nak mohon tu boleh klik SINI

Harap entri ini dapat membantu adik-adik yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat master /Ijazah Sarjana. Takpelah sambung dalam negara je pun. Yang penting ikhlas mencari ilmu okey adik2. Heeeeeeeeeee...

~Honey Inara~


Tuesday 11 February 2014

Bila Ujian Datang Bertimpa-timpa

Hari ini merupakan hari yang agak muram buat aku...ya! ujian berat menimpaku dalam hari yang sama, membuatkan hidupku terasa begitu sempit...Aku juga tidak berapa sihat (demam, batuk, selesema) sejak beberapa hari. Mungkin biasa bagi orang lain, tapi berat bagi aku yang begini. Sudah lama aku tidak berhadapan dengan ujian sebegini. Kali terakhir aku mengalami ujian kesempitan semacam ini pun sewaktu aku praktikal dahulu. Kira-kira setahun lebih yang lalu.

Dari setahun lebih yang lalu hingga ke hari ini, baru hari ini sahaja aku diuji lagi dengan bentuk ujian yang serupa. Bermakna panjang jua jarak masa Allah SWT memberikan aku kelapangan dan pelbagai nikmat kesenangan. Tidakkah aku harus bersyukur kerana sudah banyak nikmat dan rahmat yang DIA kurniakan kepadaku. Sama ada aku sedar atau tidak sahaja. Ya Allah, jadikanlah aku seorang hambaMU yang bersyukur...yang tidak pernah melupakanMU dalam senangku.



Okey, berbalik kepada ujian bertimpa-timpa yang aku sebutkan sebelum ini, biarlah blog peribadi ini menjadi tempat untuk aku meluahkan perasaanku terhadap apa yang telah berlaku ke atasku pada hari ini.

Yang pertama, aku mendapat perkhabaran tentang si dia. Si dia yang aku letakkan dalam hati dan perasaanku sejak sekian lama. Aku belajar untuk merelakan kerana aku tahu si dia akan pergi jua suatu hari nanti.

Yang kedua, permohonan aku untuk menyewa bilik ditolak oleh pihak kolej. Ke mana aku nak tuju selepas mendaftar pengajianku nanti? Ke mana aku nak duduk dan dimana aku hendak menginap? Keluargaku jauh dan aku tiada saudara mara disini. Aku risau namun aku percaya pasti ada jalan.

Yang ketiga, permohonan biasiswa aku ditolak. Aku agak kecewa kerana aku sangat berharapkan biasiswa ini. Agak susah jugak aku hendak memohon biasiswa ini, namun akhirnya aku mendapat jawapan yang menghampakan. Aku redha ya Allah..Mungkin ada insan lain yang lebih layak mendapat biasiswa itu berbanding aku.


OKEY! Ini semua soal rezeki. Allah menurunkan rezeki kepada sesiapa sahaja yang DIA mahu, dalam apa jua bentuk, meskipun dalam keadaaan yang kita tidak sangka-sangka. Aku bersedih sepanjang pagi. Namun aku masih bersabar, kerana aku percaya rahmat Allah itu luas. Aku redha dan pasrah andai ujian hari ini menjadi penebus kepada nikmat yang bakal KAU kurniakan buatku pada masa hadapan.

Dan petang ini...aku mendapat perkhabaran yang sedikit menyembuhkan kesedihanku pagi tadi.
Untung aku masih ada sahabat yang sudi membantu. Ekoran permohonan sewa bilik aku ditolak, aku mencari ikhtiar lain dan alhamdulillah aku dipelawa tinggal di rumah sahabatku itu buat sementara.

Tak sempat aku menunggu lebih lama, aku menerima panggilan daripada nombor pejabat. Aku ragu-ragu namun perasaanku tenang. Alhamdulillah ya Allah! Aku menerima panggilan daripada kolej lama aku, yang menyatakan bahawa permohonanku yang lama dahulu aku buat diterima! Sungguh aku tidak berharap tinggi bahawa permohonan itu diterima kerana aku tahu saingannya sengit. Namun siapa mampu menghalang ketetapan Allah? Akhirnya rezeki itu jadi milikku.

Tiba-tiba hari ini menjadi hari yang cukup mendamaikan buat diriku. Walaupun aku masih risau soal biasiswa, belanja yuran pengajian, penginapan dan sara diri, tetapi aku percaya pasti akan ada jalannya. Rezeki itu pasti ada. Cuma lambat atau cepat saja. Yang penting aku perlu terus bersabar.

Hari ini aku belajar erti kekecewaan, hari ini jua aku belajar erti kesenangan. Dalam sekelip mata, Allah melapangkan jalanku yang sempit tadi. Sungguh Allah itu Maha Kaya, Maha Kuasa mengubah setiap sesuatu, Maha Memberi Rezeki dan Maha Melimpahkan Rahmat. Aku makin mengerti bahawa ujian itu adalah tarbiyah yang paling mahal dari Allah SWT.



Danau hati ~ Honey Inara