Tuesday 11 February 2014

Bila Ujian Datang Bertimpa-timpa

Hari ini merupakan hari yang agak muram buat aku...ya! ujian berat menimpaku dalam hari yang sama, membuatkan hidupku terasa begitu sempit...Aku juga tidak berapa sihat (demam, batuk, selesema) sejak beberapa hari. Mungkin biasa bagi orang lain, tapi berat bagi aku yang begini. Sudah lama aku tidak berhadapan dengan ujian sebegini. Kali terakhir aku mengalami ujian kesempitan semacam ini pun sewaktu aku praktikal dahulu. Kira-kira setahun lebih yang lalu.

Dari setahun lebih yang lalu hingga ke hari ini, baru hari ini sahaja aku diuji lagi dengan bentuk ujian yang serupa. Bermakna panjang jua jarak masa Allah SWT memberikan aku kelapangan dan pelbagai nikmat kesenangan. Tidakkah aku harus bersyukur kerana sudah banyak nikmat dan rahmat yang DIA kurniakan kepadaku. Sama ada aku sedar atau tidak sahaja. Ya Allah, jadikanlah aku seorang hambaMU yang bersyukur...yang tidak pernah melupakanMU dalam senangku.



Okey, berbalik kepada ujian bertimpa-timpa yang aku sebutkan sebelum ini, biarlah blog peribadi ini menjadi tempat untuk aku meluahkan perasaanku terhadap apa yang telah berlaku ke atasku pada hari ini.

Yang pertama, aku mendapat perkhabaran tentang si dia. Si dia yang aku letakkan dalam hati dan perasaanku sejak sekian lama. Aku belajar untuk merelakan kerana aku tahu si dia akan pergi jua suatu hari nanti.

Yang kedua, permohonan aku untuk menyewa bilik ditolak oleh pihak kolej. Ke mana aku nak tuju selepas mendaftar pengajianku nanti? Ke mana aku nak duduk dan dimana aku hendak menginap? Keluargaku jauh dan aku tiada saudara mara disini. Aku risau namun aku percaya pasti ada jalan.

Yang ketiga, permohonan biasiswa aku ditolak. Aku agak kecewa kerana aku sangat berharapkan biasiswa ini. Agak susah jugak aku hendak memohon biasiswa ini, namun akhirnya aku mendapat jawapan yang menghampakan. Aku redha ya Allah..Mungkin ada insan lain yang lebih layak mendapat biasiswa itu berbanding aku.


OKEY! Ini semua soal rezeki. Allah menurunkan rezeki kepada sesiapa sahaja yang DIA mahu, dalam apa jua bentuk, meskipun dalam keadaaan yang kita tidak sangka-sangka. Aku bersedih sepanjang pagi. Namun aku masih bersabar, kerana aku percaya rahmat Allah itu luas. Aku redha dan pasrah andai ujian hari ini menjadi penebus kepada nikmat yang bakal KAU kurniakan buatku pada masa hadapan.

Dan petang ini...aku mendapat perkhabaran yang sedikit menyembuhkan kesedihanku pagi tadi.
Untung aku masih ada sahabat yang sudi membantu. Ekoran permohonan sewa bilik aku ditolak, aku mencari ikhtiar lain dan alhamdulillah aku dipelawa tinggal di rumah sahabatku itu buat sementara.

Tak sempat aku menunggu lebih lama, aku menerima panggilan daripada nombor pejabat. Aku ragu-ragu namun perasaanku tenang. Alhamdulillah ya Allah! Aku menerima panggilan daripada kolej lama aku, yang menyatakan bahawa permohonanku yang lama dahulu aku buat diterima! Sungguh aku tidak berharap tinggi bahawa permohonan itu diterima kerana aku tahu saingannya sengit. Namun siapa mampu menghalang ketetapan Allah? Akhirnya rezeki itu jadi milikku.

Tiba-tiba hari ini menjadi hari yang cukup mendamaikan buat diriku. Walaupun aku masih risau soal biasiswa, belanja yuran pengajian, penginapan dan sara diri, tetapi aku percaya pasti akan ada jalannya. Rezeki itu pasti ada. Cuma lambat atau cepat saja. Yang penting aku perlu terus bersabar.

Hari ini aku belajar erti kekecewaan, hari ini jua aku belajar erti kesenangan. Dalam sekelip mata, Allah melapangkan jalanku yang sempit tadi. Sungguh Allah itu Maha Kaya, Maha Kuasa mengubah setiap sesuatu, Maha Memberi Rezeki dan Maha Melimpahkan Rahmat. Aku makin mengerti bahawa ujian itu adalah tarbiyah yang paling mahal dari Allah SWT.



Danau hati ~ Honey Inara



No comments:

Post a Comment