Thursday 31 May 2018

Ikhtiar Hamil Cara Saya Sampai Berjaya. Alhamdulillah!


Alhamdulilah..Alhamdulillah..Alhamdulillah ya Allah...
Saya mengharungi perjalanan TTC hampir 2 tahun. 2 tahun tu tak lama, tapi cukup mengajar saya pelbagai erti dalam kehidupan. Sebelum ini, hampir setiap hari saya google tentang tips hamil, petua-petua mendapat anak, ikhtiar hamil, masalah kesuburan, ttc journey dan macam-macam lagi yang berkaitan. Sungguh saya nak sangat anak. Saya percaya 100% insan yang berkahwin pasti mengimpikan cahaya mata. Bila orang tanya dah ada isi belum, saya hanya mampu tersenyum dan minta mereka doakan. Alhamdulillah saya tidak pernah dikutuk atau dicerca oleh mulut-mulut puaka lantaran belum hamil pada masa itu.

Sebelum hamil, saya terfikir kenapa aku tak lekat-lekat lagi ni. Aku ni ada masalah ke? Bahagian kewanitaan aku ni ada problem ke? Semua itu menjadi teka-teki yang menghantui hidup saya. Saya juga tertanya-tanya bilalah Allah akan rezekikan aku dengan zuriat? Berapa tahun lagi agaknya aku harus menunggu. Ah, betapa tidak sabarnya saya! Padahal ada orang lain yang lebih lama menunggu dan akhirnya mereka berjaya hamil. Mereka semua adalah inspirasi saya. Saya suka baca kisah TTC yang lain di blog-blog. Semuanya untuk memotivasikan saya agar tidak putus asa berusaha.

TAHUN PERTAMA PERKAHWINAN

Tahun pertama perkahwinan, saya tidak fikir sangat soal anak. Saya enjoy hidup berdua bersama suami. Kami kerap travel ke sana-sini. Semasa bujang dulu, saya pernah terfikir untuk tidak cepat sangat dapat anak dan nak hidup berdua je dulu dengan suami. Rupanya Allah maha Mendengar bisikan kecil hati saya itu. Saya benar-benar belum diberi rezeki hamil pada tahun pertama perkahwinan, walaupun pada masa itu hati saya mula berharap untuk menimang zuriat.


Saya memulakan ikhtiar pertama dengan mengambil asid folik dan Minyak Kelapa Dara D'Aura.
Katanya elok untuk kesuburan dan kawan saya pun suggest supaya cuba. Tapi belum ada rezeki saya.

Ikhtiar kedua, saya ambil B Complex with folic acid Shaklee. Asalnya saya nak cuba GLA Complex sebab banyak sangat testimoni berjaya. Tapi mahal pula. Terpaksa saya tangguh dulu dan cuba B Complex ni dulu. Tapi nampaknya belum juga mendatangkan hasil. Haid saya jadi makin celaru pula. Saya tak habiskan pun Shaklee tu.



Ikhtiar ketiga saya, saya try minum buah zuriat. Saya beli buah zuriat di kedai arab. Ibu saya pun cadangkan suruh cuba minum buah zuriat. Dengan susah payahnya suami nak pecahkan buah zuriat tu, tapi kami tetap cuba juga dengan penuh harapan. Berbotol-botol juga kami minum. Tapi belum juga ada rezeki kami.



Walaupun dah macam-macam saya cuba, saya masih teruskan pengambilan asid folik sebagai persediaan sebelum mengandung.

TAHUN KEDUA PERKAHWINAN

Tahun kedua perkahwinan, saya dan suami mula serius berusaha untuk mendapatkan cahaya mata. Dengan hati yang bercampur baur tapi membawa harapan yang tinggi, kami pergi ke LPKKN (Jalan Raja Laut, depan medan MARA) untuk check masalah kami dan dapatkan rawatan. Temujanji pertama, suami kena buat sperm test dan saya pula hanya diinterview oleh misi. Selepas itu mereka minta saya buat HSG Test. Saya paling takut nak buat test tu! Setiap hari saya google kebanyakkan blog menceritakan pengalaman yang menyakitkan semasa buat HSG Test. Suami saya pun tak menggalakkan kerana dia tidak sanggup tengok saya sakit. Keputusan sperm test, suami tiada masalah. Saya mula sedih sedikit. Bermakna sayalah yang bermasalah agaknya.

Ikhtiar saya seterusnya, saya minum Jus Perawan Dherbs. Ini cadangan kakak saya sebab dia dulu hamil selepas ikhtiar minum jus ni dengan izin Allah. Beberapa botol juga saya cuba, tapi belum berjaya. Haid saya pula jadi kacau bilau.

Saya balik ke kampung dan cuba berurut pula. Ini first time saya berurut seluruh badan dengan tukang urut bertauliah. Kata makcik urut tu, kedudukan rahim saya elok, tak ada masalah. Tubuh badan pun okey. Saya dah lega kat situ. Dia nasihatkan saya supaya jaga makan dan banyakkan berdoa.


Ikhtiar seterusnya, saya cuba minum Menstrual Pro. Ini cadangan kawan saya sebab katanya dia dulu lekat selepas minum MP ini dengan izin Allah. Saya pun cubalah. Tapi belum sampai juga rezeki saya.

JUMPA PAKAR

Selepas setahun setengah usia perkahwinan, saya nekad untuk berjumpa doktor pakar O&G. Saya tidak mahu menunggu lama-lama lagi kerana setiap usaha itu mengambil masa yang panjang. Saya mesti bertindak sekarang kerana saya tidak tahu bila Allah akan kurniakan rezeki itu kepada kami. Jadi saya tidak boleh membuang masa dan menunggu tahun demi tahun berlalu. Itu motivasi saya pada masa itu. Lebih-lebih lagi ramai yang kahwin terkemudian daripada saya telah selamat mengandung. Semakin kuatlah semangat saya untuk terus berusaha.

Kami berjumpa seorang doktor pakar muslimah di sebuah hospital swasta. She's very nice person. Tapi doktor itu tidaklah risau sangat dengan kami kerana usia perkahwinan kami masih muda. Untuk permulaan, saya buat ujian darah dan TVS Scan untuk mengesan telur dalam rahim saya. Akhirnya dari situ saya mula tahu apa sebenarnya masalah saya.

Melalui TVS Scan, doktor kenalpasti telur saya tak banyak dan kecil-kecil saiznya. Tidak matang untuk persenyawaan. Saya mula faham apa sebenarnya masalah saya. Langkah pertama doktor suruh saya turunkan berat badan. Walaupun saya tak nampak gemuk, tapi BMI saya overweight. Berat badan akan menyebabkan ketidakseimbangan hormon. Dapat pula result ujian darah, rupanya tahap hormon progesterone saya rendah. Hormon progesterone penting untuk memulakan dan mengekalkan kehamilan. Sepatutnya untuk hamil tahap progesterone mestilah 11 ke atas (Betulkan saya kalau saya silap), tapi tahap progesterone saya cuma 6.

Di hospital itu juga saya menangis. Suami cuba memujuk dan menenangkan saya. Saya sedih dan risau adakah saya tidak akan mampu mempunyai anak lantaran masalah ini. Tapi saya cuba kuatkan semangat dengan dorongan suami. Saya mesti berusaha lagi dan saya yakin Allah pasti akan membantu saya. Rezeki terletak di tanganNYA. Pada siapa lagi saya harus bergantung harap dalam soal ini selain Allah.

Misi doktor dan misi kami sekarang adalah untuk membesarkan saiz telur agar telur saya matang untuk disenyawakan dan juga menstabilkan hormon saya. Saya juga mula berdiet sedikit demi sedikit. Doktor beri saya ubat clomid bermula dengan dos yang paling rendah. Setiap bulan saya perlu check telur saya dan doktor akan menaikkan dos clomid untuk bulan seterusnya. Setiap kali melangkah ke hospital untuk scan telur, saya berdoa sungguh-sungguh agar ada telur yang besar dan matang. Perkembangannya, telur saya membesar tapi tidaklah besar sangat. Tapi sekurang-kurangnya saya lega kerana saya ada telur yang mungkin berpotensi untuk disenyawakan. Saya masih teruskan usaha diet walaupun payah benar nak turun berat badan ni. Saya kurangkan kafein, gula, makanan bergoreng, fastfood, jajan dan banyakkan makan sayur, buah dan minum susu kambing. Saya minum susu kambing Hi Goat dan susu kambing fresh.

Bulan demi bulan, doktor mula syak saya ada PCOS. Saya pun syak diri saya ada PCOS. Sebabnya clomid seperti tidak menjadi ke atas badan saya. Doktor beri saya ubat Metformin dan teruskan pengambilan clomid. Saya ambil clomid untuk 4 cycle. Tapi saya belum hamil walaupun dah ambil 4 cycle clomid. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana haid saya mula jadi sangat teratur selepas ambil metformin dan clomid tu. Tarikh period datang dan tarikh period berakhir cantik je. Kalau dulu period saya memang tak regular. Kadang kadang tu 2 bulan tak period. Itu pun satu masalah juga dalam kalangan TTC. Selain diet, doktor memang suruh betulkan period dulu.


Saya mula 'penat' dengan rawatan moden dan ubat-ubat yang terpaksa saya telan. Lagipun saya ada baca jangan ambil clomid lebih dari 5 cycle kerana akan beri efek kepada rahim. Dengan kos yang tinggi lagi. Tak sanggup rasanya nak membayar lagi. Saya mula rasa mahu berehat dari semua ini. Waktu itu sudah hampir penghujung tahun. Saya rasa mungkin tiada harapan lagi untuk saya dalam tahun kedua perkahwinan ini. Mungkin saya perlu rest dulu. Inipun tips yang saya dapat daripada TTC lain juga. Rehat dulu daripada sebarang rawatan dan ubat.


Tapi saya masih teruskan pengambilan asid folik dan saya try minum pati delima pula. Jenama Yusuf Taiyob. Masam tapi saya suka rasanya. Pati delima ni pun dah lama saya nak try sebenarnya tapi baru masa tu terdetik nak beli satu sebab kata orang ia elok untuk kesuburan.



KUASA DOA DAN KEINSAFAN

Satu hari hati saya dijentik dengan satu status facebook daripada pengguna facebook yang tidak saya kenali pun. Saya nampak sebab ada friend saya yang share status beliau. Beliau juga lama berTTC dan akhirnya berjaya. Tips beliau, beliau mengubah cara berdoa. Tiada lagi doa "Ya Allah berikanlah aku zuriat.." dan doa-doa yang menjurus selah-olah kita memaksa Allah beri apa yang kita mahu saja. Kata beliau, berdoalah begini "Ya Allah jika dengan kehadiran zuriat akan meningkatkan lagi ketaqwaanku kepadaMU, maka kau hadirkanlah zuriat dalam hidupku. Jika tidak, aku redha atas segala ketentuanmu." Minta juga pada Allah dengan penuh menghinakan diri sebagai hambaNYA yang lemah dan menginsafi bahawa hanya Allah yang berkuasa dalam soal rezeki zuriat ini. Sesungguhnya perkara ini amat mudah bagi Allah. Saya mula minta dengan penuh menghinakan diri, betapa lemah dan tiada daya upayanya saya. Saya minta belas kasihan daripada Allah dalam setiap sujud-sujud saya. Suami juga selalu berpuasa dan bangun malam. Kami serahkan takdir, nasib dan pergantungan kami kepada Allah SWT dengan sepenuhnya.

Saya juga pernah dengar kuliah daripada seorang ustaz. Kata beliau berdoalah untuk insan-insan lain juga tanpa mereka ketahui, kerana malaikat akan mengaminkan sekali doa itu untuk diri kita. Sejak itu saya mula berdoa agar kawan-kawan saya dan saudara mara saya yang juga belum punya zuriat, dikurniakan zuriat juga. Saya tahu ada kawan saya yang lagi lama kahwin dari saya tapi belum direzekikan dengan kehadiran zuriat. Saya sebut nama-nama mereka dalam doa saya. Saya doa dengan sungguh-sungguh dan ikhlas. Saya juga mahu mereka dapat anak dengan segera. Sama seperti yang saya harapkan untuk diri saya juga.

Saya juga tak putus-putus amalkan 4 doa ini:
1. Doa Nabi Zakaria



2. Doa Nabi Ibrahim

3. Doa keluarga bahagia


BERCUTI BERSAMA SUAMI

Saya dan suami ambil keputusan untuk bercuti ke luar negara. Kami enjoy bermusafir di tempat orang dan dapat pengalaman baru. Dalam masa yang sama hati saya kuat berdoa agar kami akan dikurniakan zuriat. Saya percaya rezeki saya pasti ada. Saya yakin pada Allah dan berfikiran positif sentiasa. Apa yang saya pegang, walaupun soal kehadiran anak ini sukar untuk kita kerana kita tidak mampu mengawalnya, akan tetapi hal ini amat mudah bagi Allah.


Balik daripada bercuti, saya masih mahu meneruskan ikhtiar hamil saya. Saya nak cuba makan pil Himalaya Shatavari pula. Ramai yang review katanya produk ni bagus. Saya pun belilah shatavari ni di Shoppee sebab murah sikit. Tapi saya ada terbaca kalau hamil jangan makan shatavari ni. Hati saya pun terdetik. Baik aku check UPT dulu, mana tahu mengandung. Kalau mengandung sambil makan shatavari ni, kan naya!

KEJUTAN YANG TAK DISANGKA

Saya pun check lah dulu UPT dengan tujuan nak mulakan makan shatavari. Firasat mengandung tak ada pun masa tu. Perasaan pun biasa je sebab dah biasa tengok UPT naik satu line je. Dah berapa banyak UPT saya bazirkan sebelum ni sebab perasan mengandung. Asal period lambat je saya terus check. Padahal tak ada pun. Haiiih itu semua pengalaman hidup. UPT saya pun berlambak-lambak, borong murah kat Lazada.

Lepas beberapa minit mencelup urin, saya nampak macam ada double line, tapi line kedua tu kabur. Hati saya mula bercampur baur. Happy tapi tak nak happy sangat. Saya tangguh dulu nak makan shatavari. Saya nak try buat UPT lagi minggu depan.




Minggu depan saya test dan double linenya makin terang! Ya ALLAH! Aku mengandung ke?! Saya pun beritahu suami. Suami happy sangat tapi dalam masa sama kami buat rileks je dulu sebab tak confirmkan lagi dengan doktor kan. Hati saya dah berbunga riang sedikit demi sedikit. Saya ceritakan pada ibu, ibu minta saya doa bersungguh-sungguh dan dia pun selalu doa dan solat hajat untuk saya. Saya terharu sangat. Mungkin ada keberkatan doa seorang ibu dalam perkara yang sedang saya hadapi sekarang ini.

Saya nak meyakinkan diri. Saya beli UPT Clearblue digital pula sebab katanya confirm accurate. Saya beli di Shoppee juga sebab murah sikit. Dan result yang terpapar..... pregnant 3++!


ALHAMDULILLAH YA ALLAH

Allahuakbar! Subhanallah! Alhamdulillah! Tuhan saja yang tahu betapa bahagianya perasaan saya masa itu. Betapa baiknya Allah terhadap saya. Akhirnya DIA kabulkan jua harapan dan impian kami suami isteri. Allah. Besarnya rahmatMU terhadap hambaMU ini. Bahkan saya rasa belum cukup lagi kesyukuran saya terhadapNYA.

Kami pun berjumpa semula dengan doktor muslimah kegemaran saya tu. Saya beritahu UPT saya positif dan dia pun sangat gembira. Saya jalani ujian ultrasound dan ternyata memang ada janin dalm rahim saya. Usia kandungan dah pun 6 weeks. Masuk 9 weeks saya buka buku pink di Klinik Kesihatan. Alhamdulillah.

Begitulah pengalaman saya berTTC yang tidaklah lama sangat, tapi cukup menguji kesabaran dan kekuatan hati. Saya jadi lebih memahami insan-insan lain disekeliling saya yang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tidak semua akan mendapat nikmat sama seperti orang lain, kerana semuanya berlaku atas keizinan Allah.Segala-galanya telah ditentukan sejak di Luh Mahfuz lagi.  Kepada pembaca yang sedang TTC, semoga bebelan panjang saya ni memberi sedikit motivasi dan semangat untuk anda. Anda pun mesti boleh hamil. Insya Allah.Yakinlah Allah yang memberi rezeki dan insya Allah pasti ada bahagian rezeki anak untuk kita.


Kandungan saya sekarang dah nak masuk 5 bulan. Doakan saya selamat bersalin nanti, baby dan ibu sihat dan dipermudahkan ya. Terima kasih. Anda mesti kuat, sabar dan jangan putus asa. Salam sayang dari saya untuk semua TTCians.:)