Wednesday 2 March 2016

Dia Pilihanku Yang Terbaik

Semakin hari, aku semakin mengenali hati budinya. Keterbatasan ruang antara aku dan dia bukan penghalang untuk aku mengetahui warna dirinya yang sebenar. Aku tahu dia seorang yang baik. Dia terlalu baik pada aku, pada ibu bapaku, pada keluarganya, pada sahabat-sahabatnya, pada rakan-rakan sekerjanya mahupun pada orang-orang yang tidak dia kenali.

Aku sangat bertuah kerana bakal memilikinya.

Dia terus melakukan kebaikan dibelakangku, tanpa pengetahuanku, tanpa pernah memberitahu atau bercerita kepadaku. Aku mengetahui segala kebaikannya daripada orang lain yang menyampaikan.

Aku sangat terharu kerana bakal memilikinya.

Aku semakin yakin dan percaya bahawa dia adalah pilihanku yang paling tepat. Dia pilihanku yang terbaik antara semua yang pernah hadir dalam hidupku. Dia jauh lebih baik. Aku tidak harus mensia-siakannya. Aku sedar, bukan mudah untuk aku dan dia sampai ke tahap ini. Perjalanan aku dan dia terlalu jauh, unik dan mencabar.

Aku sangat beruntung kerana bakal memilikinya.

Dia terlalu sempurna dimataku. Dia punya segala-galanya. Aku amat mengaguminya. Jauh disudut hati, aku berasa tidak layak berada disisinya.Aku sering terfikir, kenapa dia sanggup merendahkan dirinya dengan memilihku sebagai isteri? Aku tidak punya kelebihan. Aku hanya seorang gadis comot yang lemah, naif, kelam kabut, tak tentu arah dan tiada keyakinan diri. Apalah istimewanya aku dimata dia? Sungguh aku tiada jawapan.

Cintanya kepadaku semudah petikan jari. Apakah aku ini cinta pandang pertamanya? Sebelum ini, aku tidak pernah percaya pada cinta pandang pertama. Bagiku ia tidak setulus mana, kerana ia cinta yang bersandarkan kepada tarikan fizikal yang mungkin dikaburi oleh pandangan mata yang menipu. Tapi mengapa dia begitu percaya pada cinta pandang pertama, sehingga hanya dengan sapaan pertama dia terus mengajakku kahwin. Itu kerja gilakan? Yang lebih memelikkan, aku bukannya cantik pun. Pura-pura ayu bak kata sahabatku.

Tapi dia pandai meyakinkan aku dengan bahasanya yang indah, dengan gaya tubuhnya yang terlalu obvious. Apabila ada peluang, dia suka curi-curi pandang aku. Dia sangat serius membuktikan kesungguhannya. Dia sangat berusaha mengambil hati orang tuaku. Dia selalu bagi aku hadiah. Dia menghormati dan menyanjungi aku yang tak seberapa ni. Dia mendidik aku tanpa mendominasi. Dia ingin tahu tentang peribadi, keinginan, impian dan cita-citaku. Dia berkongsi tentang impian dan perancangan hidupnya. Dia rajin membantu aku dalam segala hal pun. Dia selalu memuji aku yang tak seberapa ni. Dia sentiada menghormati dan bersetuju dengan pendapat aku. Dia berbicara tentang masa hadapan dengan ku. Dia memperkenalkan aku kepada insan-insan sekelilingnya. Dia mencari masa untuk bersamaku. Dia suka tulis kata-kata romantis. Dia pandai buat aku 'melting' tanpa aku merasa rimas.

Pada aku, dia seorang lelaki yang 'desperate dalam tenang.' Bahkan dia tidak malu untuk menunjukkan betapa desperatenya dia.

Cinta membuatkan manusia sedikit gila.Dia sanggup melakukan perkara gila atau memalukan dirinya semata-mata mahukan perhatian dariku. Dari sini aku nampak sisi childish dia disebalik dirinya, seorang lelaki maskulin yang hebat. Dia tidak malu menunjukkan sisi ketidakmatangan dan sifat keanak-anakannya. Ini yang selalu jadi bahan ejekan kakak aku ;) Itulah sweetnya tentang dia.



Walau bagaimanapun, segala keraguan itu terhapus bila aku kembali kepada hakikat hidup sebagai seorang hamba di dunia. Cinta itu harus dibina atas dasar cinta kepada Allah. Itulah yang menjadi kepercayaannya, dan aku juga harus menyematkan kepercayaan itu, bahawa dia memilihku sebagai bidadari hidupnya kerana dia mendahului cinta kepada Allah SWT.

Aku malu dengan kekuranganku.
Aku terharu apabila dia begitu yakin bahawa aku akan menjadi isteri yang solehah untuknya.
Aku berjanji akan menjadi yang terbaik untuknya.


~honeyinara~